View Full Version: Beza Cekak Hanafi & Cekak Malaysia

My-Sahabat > Seni Mempertahankan Diri > Beza Cekak Hanafi & Cekak Malaysia


Title: Beza Cekak Hanafi & Cekak Malaysia


bibsprop - September 21, 2005 08:23 PM (GMT)
Perbezaan Antara Silat Cekak Hanafi dan Silat Cekak Malaysia

1. Pendahulan

Tujuan kertas ini adalah untuk menjelaskan perbezaan di antara Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi atau ringkasnya Silat Cekak Hanafi dengan Silat Cekak Malaysia. Penjelasan ini adalah perlu untuk menghalang pihak-pihak tertentu yang cuba mengelirukan masyarakat mengenai perkara ini.

2. Perbezaan di antara Silat Cekak Hanafi dan Silat Cekak Malaysia

Terdapat banyak perbezaan di antara Silat Cekak Hanafi dengan Silat Cekak Malaysia, antaranya adalah seperti berikut.:-

Silat Cekak Hanafi dipimpin oleh YM En. Mohd Radzi bin Hj. Hanafi selaku Guru Utama mulai 19 Mei 1993 setelah mendapat mandat daripada Tuan Hj. Ishak bin Itam yang memangku jawatan guru utama Silat Cekak selepas YM Ustaz Hanafi b. Hj. Ahmad meninggal dunia pada 13 Ogos 1986.

Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi atau ringkasnya Silat Cekak Hanafi adalah merupakan Silat Cekak yang benar-benar diamal dan dianjurkan oleh Allahyarham YM Ustaz Hanafi bin Hj. Ahmad baik dari segi kaedah pembelajaran, konsep, falsafah, prinsip, pegangan, kerohanian dan pembawaannya. Catatan sejarah menunjukkan bahawa setelah Allahyarham Ustaz Hanafi b. Hj. Ahmad mengambil balik Silat Cekak daripada En. Yahya b. Said pada tahun 1965, beliau telah meneliti kesemua buah-buah Silat Cekak dan amalan-amalan yang terdapat di dalamnya. Setelah kajian dibuat secara terperinci, beliau telah mengutarakan Silat Cekak yang benar-benar asli dari aspek budaya Melayu serta memasukkan pegangan tauhid sebagai ilmu kerohaniannya. Dalam perkara ini, hanya Silat Cekak Hanafi sahaja yang benar-benar mendukung perjuangan Allahyarham Ustaz Hanafi bin Hj. Ahmad dalam mendukung silat Melayu yang benar-benar asli serta membenteras ilmu tahyul dan khurafat di dalam alam persilatan Melayu.

Silat Cekak Hanafi di bawah pimpinan YM En. Mohd Radzi b. Hj. Hanafi selaku Guru Utama adalah bersih daripada segala ilmu tahyul dan khurafat yang merupakan satu ciri penting dalam mendukung perjuangan Allahyarham Ustaz Hanafi b. Hj. Ahmad. Perkara ini telah perakukan oleh Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, Malaysia yang sekarang ini dikenali sebagai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Jentera penggerak utama Silat Cekak Hanafi adalah Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia yang telah didaftarkan pada tanggal 5 Ogos 1994. Persatuan ini ditubuhkan setelah Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSCCM) menafikan hak En. Mohd Radzi bin Hj. Hanafi sebagai guru utama Silat Cekak yang sah.

Silat Cekak Hanafi juga mempunyai logo, moto, pakaian-pakaian seragam, lagu rasmi, lambang persatuan dan lambang persilatan yang berbeza daripada Silat Cekak Malaysia.

3. Penutup

Adalah diharapkan dengan penjelasan di atas, segala persoalan dan kekeliruan yang dibangkitkan oleh pihak-pihak yang tertentu akan terjawab. Oleh itu, untuk mencari Silat Cekak yang sebenar PASTIKAN IANYA Silat Cekak Hanafi.
---------------------------------------------------------------------------------------------------

Pandangan Silat Cekak Hanafi Terhadap Isu Perakuan Taubat
Oleh Tuan Hj. Ishak b. Itam,

(Bekas Guru Utama Silat Cekak dan adalah Mahaguru Silat Cekak Malaysia)

1. Tujuan

Kertas ini adalah bertujuan untuk menerangkan pandangan Silat Cekak Hanafi terhadap isu Tuan Hj. Ishak b. Itam, bekas guru utama Silat Cekak yang telah membuat perakuan taubat di hadapan Ketua Pengarah dan pegawai-pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada bulan Februari 1998 yang lalu.


2. Latar belakang

Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa salah satu isu yang melibatkan krisis di antara Silat Cekak Hanafi dan Silat Cekak Malaysia adalah isu penyelewengan akidah oleh Tuan Hj. Ishak b. Itam. Perkembangan mutakhir berkenaan isu ini adalah mengenai perakuan taubat oleh Tuan Hj. Ishak b. Itam yang mengaku pernah mempercayai perkara-perkara yang bertentangan dengan akidah Islamiah. Perakuan ini telah dibuat di hadapan Ketua Pengarah dan pegawai-pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia pada 23 Februari 1998 yang lalu. Perakuan ini telah mewujudkan satu senario yang baru yang perlu difahami oleh setiap ahli Silat Cekak Hanafi dan juga masyarakat umum.


3. Pengertian

Sekiranya diteliti secara halus, perakuan taubat oleh Tuan Hj. Ishak b. Itam ini telah memberi banyak maksud dan pengertian. Antaranya adalah seperti berikut:-

- Ia membuktikan bahawa apa yang diperkatakan oleh pendukung-pendukung Silat Cekak mengenai isu penyelewengan akidah oleh Tuan Hj. Ishak b. Itam adalah benar walaupun beliau telah cuba sedaya upaya untuk menafikan perkara ini dengan menyatakan bahawa ianya adalah fitnah daripada kita. Sesungguhnya ini bukanlah satu tuduhan palsu yang tidak berasas terhadap dirinya. Ini menunjukkan bahawa kita telah berbicara secara benar dalam hal ini.

- Ia menunjukkan bahawa segala tuduhan, fitnah dan tohmahan yang dilemparkan oleh Tuan Hj. Ishak b. Itam dan konco-konconya terhadap kita bersabit perkara ini adalah tidak benar dan ternyata meleset.

- Ia membuktikan bahawa selama ini Tuan Hj. Ishak b. Itam dan konco-konconya telah melakukan pelbagai pembohongan mengenai isu ini kepada ahli-ahli Silat Cekak khususnya dan masyarakat umum amnya.

- Ia menunjukkan bahawa semua bahan bukti yang dikemukakan oleh pihak kita kepada JAKIM adalah sahih dan benar. Ia juga menolak tuduhan-tuduhan Tuan Hj. Ishak b. Itam dan konco-konconya yang mendakwa bahawa kita telah memutarbelit bahan bukti dalam isu ini. Sebaliknya dengan perakauan taubat ini, semua bahan bukti ini telah diterima dan diakui kebenarannya bukan sahaja oleh JAKIM tetapi juga Tuan Hj. Ishak b. Itam sendiri.

- Ia membuktikan bahawa Tuan Hj. Ishak b. Itam telah bersalah dalam isu ini dan dengan sendirinya mengakui bahawa beliau telah melakukan satu perbuatan yang menyeleweng dari akidah Islam.

- Ia bermaksud bahawa Tuan Hj. Ishak b. Itam pernah mengamalkan ilmu-ilmu yang menyalahi akidah Islam dan ini bertentangan dengan matlamat perjuangan Silat Cekak yang diasaskan oleh Allahyarham Ustaz Hanafi b. Hj. Ahmad yakni dalam aspek membenteras dan menentang ilmu tahyul dan khurafat dalam silat melayu.

- Ia melambangkan berakhirnya satu lagi episod lakonan, mainan dan tipu helah yang dilakukan oleh Tuan Hj. Ishak b. Itam terhadap JAKIM. Untuk makluman kita semua, surat yang pertama telah dikeluarkan oleh Bahagian Hal Ehwal Islam pada 5 Januari 1994 dan surat terakhir dikeluarkan oleh JAKIM pada Februari 1998.


4. Pandangan

Kita berpendapat bahawa isu perakuan taubat oleh Tuan Hj. Ishak b. Itam ini adalah sesuatu yang sememangnya dijangkakan. Sepertimana yang tercatit di atas, ia membuktikan dengan jelasnya tanpa apa-apa keraguan bahawa kita berada di pihak yang benar.

Kita berharap agar taubat beliau adalah taubat nasuhah yang ikhlas untuk meninggalkan perkara-perkara yang bercanggah dengan akidah Islamiah dan bukan sekadar dibuat untuk terus menjalankan kegiatannya sahaja.

Sebagai pihak yang mendokong kedaulatan undang-undang, kita akui bahawa sesiapapun boleh menjalankan kegiatannya di negara ini mengikut lunas-lunas demokrasi. Kita tidak mempunyai kuasa untuk menghalang sesiapa pun di negara ini untuk mempelajari sesuatu ilmu daripada orang-orang yang pernah melakukan perbuatan atau amalan yang menyeleweng dari segi akidah Islam selain daripada mempertingkatkan usaha untuk mendapatkan seberapa ramai orang yang mungkin dari masyarakat untuk menyertai pergerakan kita.

Kita juga berharap agar beliau mengambil tindakan yang serupa mengenai isu guru utama Silat Cekak yang sah. Kita mempunyai bahan bukti yang lengkap dan jelas yang mencakupi dokumen penyerahan yang sah, pita rakaman yang sah dan saksi-saksi yang menyokong tuntutan kita bahawa En. Mohd. Radzi b. Hj. Hanafi adalah guru utama Silat Cekak yang sah selepas Tuan Hj. Ishak b. Itam menyerahkan mandat perguruan kepada beliau pada 19 Mei 1993.

Kita berpendapat bahawa sekiranya Tuan Hj. Ishak b. Itam benar-benar ikhlas dalam isu perakuan taubat dengan JAKIM, maka seharusnya beliau menunjukkan sikap yang sama dengan mengisytiharkan kepada ahli-ahli Silat Cekak dan masyarakat umum bahawa beliau bukanlah guru utama Silat Cekak yang sah. Ini adalah bertepatan dengan janji yang dilafazkan kepada En. Mohd. Radzi b. Hj. Hanafi semasa majlis penyerahan mandat guru utama Silat Cekak pada 19 Mei 1993. Beliau harus menghentikan segala pembohongan ini dan balik ke pangkal jalan dengan mengakui bahawa beliau telah menyerahkan mandat guru utama Silat Cekak kepada En. Mohd Radzi b. Hj. Hanafi sebagai pewaris yang hak.


5. Penutup

Adalah diharapkan agar kertas ini dapat memberikan penjelasan serta merungkai segala pemasalahan yang bersabit dengan krisis di antara Silat Cekak Hanafi dan Silat Cekak Malaysia khususnya dalam isu perakuan taubat oleh Tuan Hj. Ishak b. Itam dan juga isu guru utama Silat Cekak yang sebenanya. Ini adalah penting dalam usaha untuk menegakkan kebenaran bagi meneruskan lagi usaha untuk mencapai matlamat dan perjuangan yang diasaskan oleh Allahyarham Ustaz Hanafi b. Hj. Ahmad.
::walllahu

maxilife1 - October 6, 2006 05:06 PM (GMT)
Hidup CEKAK HANAFI! ::cinta




* Hosted for free by InvisionFree